RSS Feed

Perhimpunan Akhillaa’

Posted by Sumayyah Mohd Idris

Apa yang penting ialah kami dapat bertemu semula, update perkembangan masing-masing.

Anak sudah berapa?

Bagaimana hidup berumahtangga? Tahun lalu datang solo, tahun ini sudah berteman.

Kerja di mana sekarang?

Tahniah dapat kenaikan pangkat. Yang tutor jadi pensyarah, yang pensyarah selesai PhD. Yang PhD sudah menjadi Profesor Madya.

Tumpang gembira dan bangga…

Dan sehubungan dengan nikmat dari Tuhanmu, perkatakanlah mengenainya” (Al-Quran 93 : 11)

Tetapi soalan-soalan itu hanya rutin. Ia sekadar conteng-conteng warna yang mencantikkan perbualan.

LEBIH BERMAKNA

Apa yang lebih bermakna, adalah kebahagiaan melihat wajah rakan-rakan yang setia bersama semasa di bangku pengajian lama dulu, dan kini terus setia bersahabat dan berukhuwwah. Ada yang sudah bersahabat semenjak di bangku A-Level, hinggalah kita sudah duduk di bangku Profesor.

Inilah yang menjadi inspirasi saya dalam tazkirah ringkas 30 minit yang diminta.

Bahawa kelompok di dalam IPRO dan KRIM ini adalah kelompok akhillaa’, kekasih-kekasih yang intim atas satu ikatan yang luar biasa. Akhillaa’ bukan ahibba’, bukan sekadar orang yang kasih mengasihi seperti dua insan bercinta, tetapi kasih sayang yang terbit seiring dengan pengorbanan. Pengorbanan di medan perjuangan.

Kerana itu cinta Ibrahim kepada Allah, menjadikannya Khalil bagi Allah dan bukan sekadar habib.

Habib itu biasa. Tetapi Khalil adalah cinta yang tinggi. Cinta yang menyanggupkan diri untuk sebuah pengorbanan.

Akhillaa’ adalah gelaran untuk kekasih-kekasih yang bercinta di dalam perjuangan.

Perjuangan pula terbit dari kepekaan, kesedaran dan keprihatinan.

LATIHAN RAMADAN UNTUK AKHILAA’

Inilah hasil kesan Ramadan. Segala ibadah yang disyariatkan oleh Allah di bulan Tarbiyyah itu adalah untuk menerbitkan kualiti TAQWA. Salah satu intipati penting di dalam TAQWA ialah kesedaran dan kepekaan. Manusia yang bertaqwa adalah manusia yang peka dan sedar.

Jika tidak peka dan sedar, masakan dia akan berjalan dengan begitu teliti ketika menempuh laluan penuh duri. Itu analogi Ubay bin Ka’ab sebagai menjawab soalan Umar al-Khattab tentang maksud Taqwa. Tengok kanan nampak duri, tengok kiri nampak bahaya, lantas perjalanan dilakukan dengan penuh sedar dan peka. Berhati-hati.

Inilah latihan dalam ibadah puasa. Kita begitu peka dan teliti dengan soal menjaga kualiti puasa. Kita bijak mengawal diri untuk tidak terjerumus kepada desakan keinginan diri. Semuanya berlaku kerana kita menempuhnya dengan conscious. Tanpa kesedaran, mahu sahaja orang berpuasa menyelak tudung periuk khususnya di awal-awal Ramadhan. Tetapi dengan sedar, dengan peka, puasa terjaga fekah dan tasawwufnya.

Sedar itu yang menjadi sari pati nilai Taqwa.

Seorang yang bertaqwa adalah seorang yang sedar dan peka. Bukan hanya peka kepada dirinya, malah peka kepada persekitaran. Bertitik tolak dari kesedaran itu, kita bertindak dan berperanan.

Kualiti inilah yang mengekalkan kami sebagai akhilla’. IPRO dan KRIM adalah dua badan yang mengumpulkan manusia peka dan manusia sedar. Bahawa di sekitar kami terlalu banyak tanggungjawab yang perlu ditunaikan, dan terlalu banyak peranan yang perlu dimainkan.

Jika semasa di bangku pengajian, kita sibuk dengan aktiviti-aktiviti sosial dan program-program keagamaan… ia merupakan suatu hal yang biasa. Ia mungkin lanjutan momentum keghairahan kita terhadap aktiviti ko-kurikulum dan berpesatuan semata. Tetapi apabila tamat pengajian dan tangan sudah menggenggam segulung ijazah, adalah terlalu mudah untuk hidup beralih menjadi self-centered.

Dakwah?

Ahh, anak bini ini pun kewajipan juga.

Bagi talk untuk student?

Ahh, aku dulu tak ada siapa pun bagi talk, boleh berjaya juga.

Datang usrah?

Tunggu housemanship habis dulu… tunggu exam MRCP selesai dulu, tunggu exam Master habis dulu… tunggu, tunggu dan tunggu…!

Ya, segala pemikiran ideal dan keghairahan kerja Islam semasa belajar dahulu, mudah sahaja untuk ditinggalkan.

Tetapi Taqwa tidak mengizinkan kita menjadi anggota masyarakat yang lumpuh. Hidup, masih hidup, tetapi sudah tidak bergerak. Hanya terperosok di posisi sendiri.

Taqwa menuntut kita untuk terus peka, sedar dan peduli. Dan dengan Taqwa itu juga kami terus menempatkan diri di medan amal Islami. Tidak kekok untuk menggendong anak turun bertemu anak muda yang dahagakan panduan. Tidak penat untuk bermata merah turun ke usrah demi mengekalkan momentum dakwah. Tidak segan untuk ketua jabatan yang sudah berjaya, turun ke program bersama remaja untuk membawa mereka berjaya sama.

Tidak teragak-agak untuk mereka yang sudah Muslim peribadi, terus berjuang untuk Muslim masyarakat dan Muslim negara.

Kerana semua itu adalah manifestasi Taqwa.

Di atas keprihatinan itu kami terus bertemu dan bersama. Di atas keprihatian itu kami sama-sama menempuh usia muda, dan di atas perjuangan itu juga kami meniti usia matang dan dewasa. Semuanya atas janji yang pernah dilafazkan dulu, bahawa solat dan ibadah yang mengiringnya, hidup dan matinya, adalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.

Kami sedang hidup dengan Taqwa, dan kami mahu mati di atas jalan yang sama.

Agar selepas berkasih sayang di dunia perjuangan, kami terus berkasih sayang di Akhirat negeri pembalasan.

Kerana sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

Pada hari itu sahabat-sahabat karib setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan Taqwa (43: 67)

Semoga Allah mengekalkan kami di atas jalan ini.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

0 comments: