RSS Feed

Menjiwai Tanzim Haraki

Posted by Sumayyah Mohd Idris

Suatu Muhasabah Pada Pendokong Gerakan Islam

” Hendaklah engkau beriltizam dengan jamaah muslimin dan imam mereka”
(Hadis dari Huzaifah Al-Yaman)

1.0 Premis dasar.

Tugas yang paling mulia dan paling agung sekali di dunia ialah tugas menyeru manusia kepada Allah s.w.t. Menjadi dai’ merupakan tugas yang bermatlamat untuk mengembalikan manusia di dunia ini kepada sistem alam yang sesuai dengan fitrah manusia. Tugas ini memerlukan kepada mentaliti pembinaan serta kaedah-kaedah yang khusus untuk memproses pembinaan ini. Tugas ini memerlukan kita membaiki diri kita dan menyeru orang lain agar menerima jalan mulia ini.

Setiap binaan memerlukan kepada penyusunan yang rapi, oleh kerana proses pembinaan dakwah itu merangkumi seluruh peringkat, maka ianya memerlukan kepada banyak perancangan meliputi pembinaan peribadi, pembinaan keluarga, pembinaan masyarakat dan institusinya, pembinaan semula dunia Islam dan untuk membentuk semula dunia ini secara keseluruhannya.

Kefahaman mengenai jihad dalam konteks haraki amat di perlukan bagi menyemarakkan lagi maksud tanzim haraki. Walaupun jelas maksud jihad dengan maknanya ialah berperang di jalan Allah. Manakala makna yang umum adalah hidup kita dari awal hingga ke akhirnya adalah jihad yang memiliki tahap-tahap dan pusingan, dan setiap pusingan melayakkan pusingan yang lain pula. Imam Ibn Al-Qayyim r.ah. ketika membicarakan maksud jihad ini memulakan dengan berjihad terhadap jiwa dan nafsu untuk mengenali kebenaran kemudian berjihad untuk beramal dengannya, dan jihad tahap kedua pula adalah iaitu bersabar tehadap bebanannya serta cabaran yang merintangan tugas dakwah ini.

2.0 KEWAJIBAN BERINTIMA’ KEPADA JAMAAH

Perjuangan Islam dilangsungkan secara berjamaah. Tiada siapa yang boleh menafikan penegasan ini justeru ia sabit melalui nas yang diwahyukan oleh Allah swt. juga sirah perjuangan baginda saw. Firman Allah swt. yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah suka ( redho ) terhadap orang – orang yang berjuang di jalanNya sebagai satu saff, seolah – olah mereka adalah satu binaan yang kukuh , tersusun rapi“. (Surah As Saff : 4)

Para Ulama’ turut berhujjah dengan menggunakan kaedah feqh bagi menjelaskan kewajipan muslim memberi intima’ terhadap jamaah, setelah dilihat bahawa Jamaah adalah merupakan satu wasilah penting untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah yang runtuh. Fungsi jamaah akan menyatukan ummah dengan kepimpinan dan gerak kerja amal Islami yang sistematik. Tanpa jamaah (organisasi berkepimpinan), ummah tidak mungkin dapat diikat dengan pengarahan terancang dan strategik untuk melahirkan satu gerakan dan kebangkitan bagi memperjuangkan Islam, sedangkan mendaulatkan syariat dan mendirikan Khilafah Islamiyyah itu adalah wajib. Maka menubuhkan jamaah dan memberikan intima’ kepadanya dihukum wajib berasaskan kaedah feqh :

مَا لاَ يَتِمُّ اْلوَاْجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ
“Suatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya, maka sesuatu itu menjadi wajib“.

Begitu juga dengan Firman Allah swt. yang bermaksud :

“…. dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru ke arah kebaikan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan“. (Surah Aali Imran: Ayat 104)

Al Imam Allusi Rhm di dalam Ruuhul Ma’ani ketika menafsirkan ayat ini, menegaskan pengertian ummah di dalam ayat ini ialah individu yang bergandingan (membentuk satu jamaah) melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ibnu Katheer Rhm menyebut: ….dan maksud dari ayat ini ialah, bahawa hendaklah ada satu golongan (firqah / jamaah) daripada ummah ini melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ayat di atas, sungguhpun menggunakan perkataan ummah , ini tidak bermakna Allah melepaskan tanggungjawab terbuka kepada ummah tanpa wujud satu gerakkerja yang terancang dikalangan ummah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Gerakkerja terancang dan sistematik, adalah satu keperluan asasi dan bersifat prinsip untuk menjayakan perlaksanaan tanggungjawab yang termaktub di dalam ayat di atas:

1. Dakwah Islamiyyah.
2. Perlaksanaan Syariat ( Amar Makruf ).
3. Mencegah kemungkaran

Saiyidina Ali karramallahu wajhah pernah menegaskan:

اَلْحَقُّ بِدُوْنِ النِّظَام يَغْلِبُهُ اْلبَاطِلِ بِالنِّظَام
“Kebenaran tanpa tanzim (penyusunan terancang/ sistematik) akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai perancangan penuh sistematik” .

Gerakkerja terancang inilah memerlukan satu pembentukan Jamaah yang Munazzamah, mempunyai kepimpinan yang berwibawa dan diikat dengan intima’ yang berasaskan ketaatan kepada jamaah dan pimpinannya yang memperjuangkan Islam.
Saiyidina Omar Al Khattab rha. menyebut:

لاَ إِسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَ لاَ جَمَاعَةَ إِلاَّ بِإِمَارَةٍ وَلا إِمَارَةَ إِلاَّ بِطَاْعَةٍ .
“Tiada Islam tanpa Jamaah dan tiada Jamaah tanpa Kepimpinan dan tiada Kepimpinan tanpa Taat” .

Lebih terasa keperluan Jamaah ini setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah terakhir pada tahun 1924 yang lalu, ulamak yang memahami tanggungjawab untuk mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah yang runtuh telah merancang dan membentuk Jamaah Islamiyyah atau Harakah Islamiyyah sebagai wadah ummah untuk berjuang dengan teliti dan strategi guna mengembalikan Khilafah tersebut .Bermula 1928 apabila tertubuhnya Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang ditubuhkan oleh Imam Hassan Al Banna, maka kesedaran berjamaah ini mula tersebar keseluruh pelusuk dunia. Akhirnya pelbagai Gerakan Islam muncul di serata dunia, yang berjuang dengan matlamat yang sama kearah mendaulatkan Syariat Allah dan mengembalikan semula Khilafah yang telah runtuh. Bahkan di Mesir sendiri wujud pelbagai Jamaah Islam dengan pelbagai pendekatan dan penampilan .

3.0 Komponen Utama Tanzim Haraki.

Rumusan yang dibuat oleh pelbagai ulama’ haraki seperti asas yang telah dibina oleh Imam As-Shahid Hassan Al-Banna, Abu A’la Al-maududi, Ust. Mustaffa mashur, Ust. Said Hawwa, Abu Hassan Ali An-Nadwy, Dr. Abdul Karim Zaidan dan lain-lain tokoh dapat disimpulkan kepada beberapa faktor iaitu;-

3.1 Memahami matlamat utama dalam melaksanakan kerja dakwah.
Matlamat utama dalam tariqud dakwah ini adalah memahami jalan menuju kepada Allah s.w.t., jalan keredhoan dan jalan ke syurga. Jalan yang sama yang pernah dilalui oleh para sahabat, para Rasul. Di atas jalan ini para juru dakwah berusaha untuk sampai ke matlamat yang paling tinggi. Matlamatnya ialah Allah, sasaran untuk mengukuh agama Allah di muka bumi, menegakkan daulah Islamiah ”Hingga tidak ada fitnah, dan jadilah agama semuanya untuk Allah s.w.t”, jalan yang telah ditempoh oleh baginda Rasululah s.a.w. adalah sebaik-baik ikutan. Ahli-ahli dalam jamaah diwajibkan bekerja dan mengorbankan segala sesuatu yang berharga demi mencapai matlamat tersebut. Oleh itu penglibatan dan tanggungjawab serta iltizam di jalan ini, sabar dengan kepayahan dan perjalanan walaupun jauh, sekali-kali tidak akan menyimpang ke jalan lain dengan izin Allah dan sekali-kali tidak akan rela dengan jalan lain.

Selain daripada matlamat utama tersebut, sebuah jamaah wajib mempunyai matlamat jangka panjang dan pendek yang ahli-ahli perlu tahu supaya bahtera dapat dipandu ke arah sasaran yang betul. Kesyumulan Islam itu adalah intipati utama yang akan diperjuangkan oleh jamaah ini. Jamaah mesti membuat kajian sosial untuk mengetahui amal Islami masakini yang terabai dari umat, serta mencari formula bagaimana untuk membetulkan kepincangan ini.

3.2 Pembinaan peribadi juru dakwah.
Jamaah seharusnya mempunyai perancangan untuk pembinaan watak para da’i yang akan melaksanakan tanggungjawab besar membawa risalah mulia. Sebagaimana rumusan bagi seorang ahli ikhwan yang telah disebutkan ”Individu yang kita kehendaki ialah individu yang mempunyai aqidah yang sejahtera, ibadat yang sah, fikiran yang berilmu pengetahuan, mampu berusaha, kuat jasmaninya, sentiasa melalukan mujahadah dengan dirinya, menjaga waktu, mengatur urusan, bermanfaat kepada orang lain”. Wasilah untuk membentuk individu muslim terbahagi kepada tiga perkara yang seharusnya sepadu antara satu sama lain.

i) Al-Murabbi (Pendidik)
ii) Manhaj yang sesuai.
iii) Biah (suasana keliling) yang solehah.

Individu ini juga perlu dipersiapkan dengan ilmu dakwah kontemporari yang sesuai keadaan serta cabaran semasa. Wasilah dakwah yang tidak jumud dan beku menghadapi kerencaman umat yang pelbagai watak serta teknologi yang semakin canggih kini.

3.3 Pembinaan keluarga jurudakwah.
Pembinaan keluarga al-akh al-mujahid juga amat penting kerana ia menjadi teladan kepada mad’u (sasaran dakwah). Diantara perkara utama yang dipinta dalam membina keluarga kepada para juru dakwah ini ialah ”membimbing keluarganya supaya menghormati fikrahnya, menjaga adab-adab Islam dalam lahiriah rumahtanganya, bijak memilih isteri, bijak mendidik anak-anak dan orang yang di bawah jagaannya dan bertanggungjawab dengan mendidik mereka sejajar dengan prinsip Islam”

3.4 Sistem berjamaah.
Kehidupan berjamaah atau berorganisasi memerlukan satu kemahiran bertolak ansur antara hasrat dan cita-cita peribadi untuk dikongsi bersama dengan individu lain dalam jamaah. Jamaah bertangguhjawab untuk melakukan proses tajdid dalam masyarakat. Proses ini bermula dengan mencari anasir-anasir yang layak untuk ditabal menjadi qiyadah dalam jamaah, memperlengkapkan dan menentukan peranannya, kerana qiyadah ini bertanggungjawab untuk mewujudkan iman yang mendalam, melaksanakan proses taqwin yang teliti serta melakukan manhaj yang betul dalam jamaah. Oleh itu beberapa faktor yang perlu perlu diberi tumpuan dalam jamaah Islamiah ialah :-

i) Memahami dan patuh kepada peraturan atau amalan jamaah.(amal jamai’e)
ii) Berbaiah serta mentaati kepimpinan yang telah dilantik.
iii) Ikut serta patuh kepada keputusan syura.
iv) Mempunyai perencanaan jamaah yang teratur.

4.0 Memahami Wasilah Dakwah.

Wasilah bermaksud bentuk-bentuk dakwah, cara untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Terdapat pelbagai wasilah yang tradisional dan moden yang boleh diguna pakai untuk menyampaikan dakwah, antaranya adalah :

i) Dakwah dengan lisan:

Contohnya pengajaran/ pengajian di surau-surau atau masjid, Ceramah-ceramah, diskusi, dialog, muzakarah, forum yang disampaikan secara terus atau melalui media massa seperti radio dan TV. Sebahagian daripada ucapan ini dirakamkan dan boleh disiarkan pada bila-bila masa dengan teknologi terkini, VCD, CD, DVD, Tape dan teknologi moden kini.

ii) Dakwah dengan tulisan:

Menerbitkan risalah, majalah, pamplet dan lain-lain bahan, penerbitan buku, mengadakan pameran adalah sebahagian contoh dakwah melalui tulisan. Perbezaan dakwah melalui tulisan adalah kitab-kitab yang dikarang oleh Ulama’ terdahulu yang masih bermanfaat hingga kini, Kitab-kitab karangan Imam Al-Ghazali Ihya Ululmuddin, Sheikh Samad Al-Falemban,i Sairus Salikin, Imam An-Nawawi, Imam As-Shafie dan lain-lain lagi.

iii) Dakwah dengan Tulisan dan Lisan:

Iaitu majlis yang menghimpunkan kedua-dua wasilah tersebut seperti seminar, konvensyen, bengkel dan sebagainya. Bukan sekadar berucap tetapi juga menyediakan bahan untuk dirujuk apabila pulang kerumah nanti. Bahan-bahan ini boleh membantu memantapkan lagi ingatan penyampai semasa pembentangan tadi.

iv) Dakwah bil hal (dengan akhlaq):

Sebahagian daripada wasilah dakwah itu adalah keperibadian yang baik, seperti pakaian menutup aurat, bersih suasana persekitaran di rumah, sekolah, atau dalam berpakaian tadi dan dimana sahaja, melakukan amar maaruf dan nahi mungkar, termasuk dalam memiliki akhlaq yang mulia ini adalah berbuat baik pada kedua ibu dan bapa kita. Menghormati guru, menjaga hak-hak jiran dan banyak lagi contoh teladan dan akhlaq yang terpuji yang boleh kita lakukan.

Bagi para pendakwah pendekatan dengan akhlaq yang mulia dengan berperibadi mulia adalah kekuatan yang perlu dimiliki oleh mereka. Ia berkait rapat dengan seluruh kegiatan hidupnya, sikap pada kerabatnya, jiran tetangganya, cara bergaul dan bermuamalah, cara berbicara dengan mereka dan kehidupan keluarganya. Contoh teladan ini adalah lebih besar pengaruhnya pada jiwa manusia daripada ucapan- ucapan.

5.0 Ransangan Dakwah.

Kita semua ingin hidup di dunia ini dengan mendapat keredhaan Allah, menunaikan amanah-Nya, dan akhirnya mendapat peluang untuk ke syurga-Nya. Kita semua tidak mampu menahan azab bakaran neraka dan kesepian hidup di alam kubur. Pun begitu, kita kerap terlalai, hidup penuh dengan kesibukan untuk memikirkan arah hidup yang benar, kelekaan keseronokkan hidup di dunia ini mudah memesong kita daripada petunjuk yang Allah telah berikan, terlalu banyak halangan yang diberikan, sehingga kita terlupa teguran Allah s.w.t pada kita semua ;

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). AT-TAUBAH: 24.

Sesungguhnya syurga Allah itu mahal harganya kecuali mereka yang betul-betul memperjuangkan amanah Allah di muka bumi sementara ini.

Sesungguhnya syurga Allah itu mahal harganya kecuali mereka yang betul-betul memperjuangkan amanah Allah di muka bumi sementara ini.Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). AL-BAQARAH: 214

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ

وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

6.0 Proses pembinaan.

Tugas kita sekarang adalah untuk memcari dan memeriksa calon-calon yang mampu dan berkelayakan untuk memproses binaan yang kita kehendaki itu. Sekiranya manusia yang kita kehendaki itu tidak ada, maka kita berkewajipan pula untuk menyedia dan melayakkannya. Tanggungjawab besar ini dibebankan kepada sebuah Jamaah Islam yang matlamat utamanya adalah dakwah illallah. Apa yang perlu kita lakukan adalah:

i) Melahirkan muslim daripada akhlaq-akhlaq masyarakatnya dan daripada lingkungannya kepada akhlaq mukmin yang sejati.ii) Melatih seorang muslim yang bertanggungjawab dengan kata-katanya; setiap kata-katanya adalah bernilai dan membina.iii) Mentarbiyyah Muslim itu tadi dengan didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan matlamat yan hendak dicapainya.iv) Membina seorang Muslim sehingga ia mampu mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.v) Melatihnya supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapatnya sendiri.vi) Melatihnya supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajarnya bagaimana membentangkan pendapatnya dan berhujah.

vii) Mengajarnya bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina.

viii) Menjelaskan kepadanya perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan, kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina.

ix) Mengajarnya bagimana untuk memajukan yang sedia ada, mewujudkan dan tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya meruntuhkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.

x) Melatihnya bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembinaannya.

7.0 Langkah Bergerak

Mengikut panduan Al-Muddatsir

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ. قُمْ فَأَنذِرْ. وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ. وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ. وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ. وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ. وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ



(al-Muddatsir: 1 – 7)

Ayat 1:

Wahai orang yang berselimut!

Marilah kita keluar daripada kepompong hanya asyik melihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling kita. Kepompong yang hanya memikirkan hidup kita, anak-pinak, dan makan-minum (serta rumah-kediaman) sahaja. Kepompong yang terleka dengan kesibukan dunia. Ayuh pecahkanlah kepompong itu! Mulakan langkah bergerakmu!

Ayat 2:

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia) .

Marilah kita mula menyebar risalah Allah. Memberi kebahagiaan sebenar kepada umat manusia. Menyampaikan panduan ilahi untuk hidup dengan lebih mulia dan berjaya (al-falah). Memberi peringatan kepada yang terleka.

Ayat 3:

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

Marilah kita jadikan Allah keagungan kita – tiada kehendak lain selain daripada mendapat keredhaan-Nya – tiada puja-pujaan lain (kelekaan-kelekaan duniawi) selain daripada-Nya. Marilah kita memasyarakatkan semangat tersebut.

Ayat 4 dan 5:

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

Marilah kita bersihkan ‘pakaian’ dalaman dan ‘pakaian’ luar. Satu demi satu keburukan yang ada kita buang mengikut kemampuan. Satu demi satu amalan yang baik kita tambahkan. Bersihkanlah jiwa sentiasa. Buangkanlah amalan-amalan yang tidak sesuai.

Ayat 6:

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Marilah kita mengikhlaskan diri.

Ayat 7:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Kita akan menempuh banyak ketidakselesaan dalam membawa risalah ini. Biarlah kita mampu memandang semua mad’u kita sebagai orang yang perlu dibimbing dan disayangi. Sebarang kejahilan dan penentangan, marilah kita bersabar. Sesungguhnya Allah akan mengganjari mengikut nilai amalan seseorang (pembawa risalah atau penentang).

8.0 Kewajiban Mengurus Dakwah Secara Haraki.

Matlamat yang besar memerlukan kewujudan sebuah jamaah yang tersusun rapi Tidak boleh disempurnakan amalan atau kerja-kerja berdasarkan persendirian tanpa ada jamaah yang menyelengarakannya. Jamaah ini mesti menjadikan Al-Quran dan Islam sebagai landasan utama dalam membentuk matlamat, wasilah, strategi, pendekatan, ilmu, tarbiyyah, tanzim, sistem, peraturan dan lain-lain. Dato’ Dr. Siddiq Fadhil menghuraikan perencanaan program, seperti sedutan dari buku Minda Melayu baru dibawah :

”Perencanaan atau planning adalah suatu proses menentukan matlamat, mengariskan kaedah-kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan , yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan.”

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keungulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan dengan itu budaya ad-hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

9.0 Akhir kalam.

Khazanah yang paling berharga bukan emas dan perak, bukan hasil mahsul, tetapi kekayaaan yang paling berharga adalah manusia. Sebaik-baik anugerah daripada manusia ialah zaman mudanya. Zaman muda adalah zaman kekuatan di antara dua kelemahan, kelemahan zaman kanak-kanak dan kelemahan zaman tua

Tetapi generasi muda yang berharga adalah apabila generasi muda yang memenuhkan masa dengan mengambil nilai-nilai Islam dengan mengamalkan akhlaq Islam, mempunyai wawasan yang baik, mempunyai matlamat yang jelas, serta mempunyai cita-cita besar di mana mereka hidup dan mati untuk memperjuangkan kalimah Allah dan kehidupan yang penuh bersyariat.

Disediakan oleh :

Al-Akh Al-Faqir Ilallah Ahmad bin Kasim,

Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat

Negeri Kedah Darul Aman.

Untuk Muqayyam Qiyadah Kebangsaan 07 PKPIM,

10 Jamadil awwal 1427 / 27 Mei 2007

Maahad Tarbiyah Islamiah,

Kg. Tengah Derang Pokok Sena.

0 comments: