Kita Ini Umpama Sebatang Buluh
Posted by
Sebatang buluh yang indah tumbuh di halaman rumah seorang petani. Batang buluh ini tumbuh tinggi menjulang di antara batang-batang buluh lainnya. Suatu hari datanglah Si Petani yang empunya pohon buluh itu.
Dia berkata kepada batang buluh, “Wahai buluh, mahukah engkau ku pakai untuk menjadi paip saluran air, yang sangat berguna untuk mengairi sawah ku?”Batang buluh menjawab, “Oh, tentu aku mahu bila dapat berguna bagi engkau, Tuan. Tapi ceritakan apa yang akan kau lakukan untuk membuatku menjadi paip saluran air itu?”
Si Petani menjawab, “Pertama, aku akan menebangmu untuk memisahkan engkau dari rumpunmu yang indah itu. Lalu aku akan membuang cabang- cabangmu yang dapat melukai orang yang memegangmu. Setelah itu aku akan membelah- belah engkau sesuai dengan keperluanku. Terakhir aku akan membuang sekat-sekat yang ada di dalam batangmu, supaya air dapat mengalir dengan lancar. Apabila aku sudah selesai pekerjaanku, engkau akan menjadi paip yang akan mengalirkan air untuk mengairi sawahku sehingga padi yang ku tanam dapat tumbuh dengan subur.”
Mendengar hal ini batang buluh terdiam agak lama….kemudian ia berkata kepada Si petani,”Tuan, tentu aku akan merasa sangat sakit ketika engkau menebangku. Juga pasti akan terasa sakit ketika engkau membuang cabang-cabangku, bahkan lebih sakit lagi ketika engkau membelah- belah batangku yang indah ini, dan pasti tak tertahankan ketika engkau mengorek- ngorek bahagian dalam tubuhku untuk membuang sekat- sekat penghalang itu. Apakah aku akan kuat untuk melalui semua proses itu, Tuan?”
Si Petani menjawab segala kerungsingan batang buluh itu, “Wahai buluh, engkau pasti kuat melalui semua itu, aku memilih engkau kerana engkau yang paling kuat daripada semua batang pada umpun ini. Jadi bertenanglah…”Akhirnya buluh itu menyerah dan redha, “Baiklah, Tuan. Aku ingin sekali berguna bagimu. Ini aku, tebanglah aku, perbuatlah sesuai dengan yang engkau kehendaki.”
Pernahkah kita terfikir bahawa dengan masalah yang silih berganti tak habis-habisnya, mungkin Allah sedang memproses kita menjadi indah di hadapanNya?Sama seperti batang buluh itu, kita sedang ditempa, Allah sedang membuat kita menjadi manusia yang berguna. Dia sedang membuang kesombongan dan segala sifat kita yang tak berkenan bagiNya. Tapi jangan khuatir, kita pasti kuat kerana Allah tak akan memberi beban yang tak mampu kita pikul. Jadi mahukah kita berserah kepada kehendak Allah membiarkan Dia melakukan sesuatu di dalam diri kita untuk menjadikan kita alat yang berguna bagiNya? Seperti batang buluh itu, mari kita berkata, “Ini hambaMu ya Allah, perbuatlah sesuai dengan yang Engkau kehendaki. Hamba sedia menempuhnya..”
0 comments:
Post a Comment