RSS Feed

Menangislah apabila anda dipilih untuk memimpin (!_!)

Posted by Sumayyah Mohd Idris Labels:

Oleh: Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Muktamar PAS yang berlangsung pada 1 hingga 3 Jun lalu menyaksikan beberapa jawatan penting dipertandingkan. Ia adalah perkara lumrah dalam organisasi parti yang menerima kaedah sistem demokrasi dalam pengurusan organisasinya.
Penerimaan kaedah ini bermakna seluruh kepimpinan perlu bersedia bahawa jawatan yang dipegang akan dipertandingkan, dan bersedia untuk menerima keputusan dengan dada terbuka. Umumnya kita menyatakan bahawa kita hanya menawar diri untuk dipilih, bukan mendesak ahli untuk memilih kita. Sifat ini adalah suatu sifat yang sangat terpuji; kerana jawatan bukanlah sesuatu yang menjadi kebanggaan apatah lagi untuk merasa terhormat dengan jawatan yang disandang.

Menyedari bahawa jawatan adalah amanah besar yang terpaksa dipikul di dunia, dan ia terpaksa pula menjawab dihadapan Allah di hari akhirat, maka selayaknya seseorang itu menangis dengan jawatan yang dipegangnya. Bukan menangisi bila ia tidak dipilih; bahkan kalaulah kita menyedari betapa beratnya amanah ini, nescaya kita akan mengucapkan 'terima kasih' kepada sahabat yang tidak memilihnya, kerana mereka telah menolong meringankan kita di hadapan Allah di akhirat.

Mari kita meneliti pesanan Rasulullah s.a.w. kepada Abu Zar al-Ghifari yang datang memohon jawatan kepada Rasulullah s.a.w.;

"Wahai Abu Zar, kamu lemah sedangkan jawatan yang kamu minta ini adalah amanah. Dan dengannya (jawatan) kelak di hari akhirat kamu akan menyesal dan dukacita; melainkan kamu ambil kerana kamu layak memikulnya, dan kamu tunaikan pula amanah itu."

Abu Zar adalah sahabat nabi yang pernah pengsan kerana takutkan Allah, jauh berbeza dengan kita hari ini.

Sabdanya lagi: "Mana-mana pemimpin yang mengkhianati rakyatnya, maka ia di dalam neraka." (Riwayat Tabrani)

Sebenarnya terlalu banyak hadis yang sangat menggerunkan bagi orang yang memikul amanah, namun dikhuatiri akan tiada orang yang sanggup menerima jawatan yang diamanahkan kepadanya, maka memadailah dengan peringatan ini, menyebabkan ia takut untuk menerima jawatan yang diberi.

Antara menerima dan menolak amanah memimpin

Lalu ada yang bertanya kalau demikian, apakah kita harus biarkan jawatan disandang oleh orang yang tidak layak untuk menguruskan organisasi parti kita. Kita melihat tidak timbul soal tidak layak, kerana semua pendokong kepimpinan yang ada adalah mereka yang sangat layak memikulnya.

Kita hanya memilih yang terbaik dari yang baik-baik, kerana itu sifat yang ada kepada kita adalah tidak melampau dalam mengharapkan jawatan untuk dimenangi, sehingga sekiranya kita tidak terpilih kita melakukan sesuatu diluar adab berjamaah, sehingga tindakan kita tidak menguntungkan jamaah bahkan menyusahkan jamaah.

Kalau diperingkat awal kita menyatakan 'saya hanya menawar diri', apa makna kalau kita tewas atau tidak dipilih kita rasa kecewa, melarikan diri dari jamaah, mendiamkan diri, mengharapkan dalam hati agar yang menang gagal dan kerjanya, bahkan lebih malang lagi kita mengambil sikap memusuhi pesaing kita.

Pendokong jamaah harus sedar dengan perangkap syaitan dan hawa nafsu yang sangat licik, untuk merosakkan dirinya dan menjauhkannya dari perjuangan Islam. Lantaran itu ucaplah tahniah kepada pesaing kita yang menang dan katakan kepadanya: "Tahniah atas kejayaan anta demi jamaah, dan ana akan bantu anta dalam urusan ini". Kata-kata begini dan seumpamanya akan melemahkan hawa nafsu jahat dan mengecewakan syaitan dari merosakkan kita.

Jawatan bukan untuk direbut

Jawatan bukanlah sesuatu yang perlu direbut, tetapi menerima penyelesaian secara syura adalah baik. Sama ada untuk jamaah atau untuk diri penerima jawatan. Kita perlu menyedari bagaimana Baginda Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita:

"Sesiapa yang menghendaki jawatan, sedang jamaah tidak meredainya, maka ia tidak akan ditolongi Allah dalam mengatasi masalahnya, dan sesiapa yang menerima jawatan sedang jamaah mengharapkannya, maka Allah akan membantunya dalam segala urusannya." (mafhum dari Hadis rasulullah s.a.w.)

Menerima kaedah syura bermakna redha dengan keputusan yang dibuat oleh jamaah ke atas diri kita, dan tidak dianggap redha seandainya kita meluahkan rasa kecewa di luar majlis itu. Demikian juga adalah malang bagi pimpinan seandainya menyatakan bangkangan kepada apa yang telah diputuskan oleh jamaah. Apa makna berada dalam jamaah seandainya kita tidak boleh redha dengan keputusan jamaah? Lebih malang lagi bilamana kita merasa bahawa kita lebih penting dari jamaah atau merasai jamaah akan lemah kerana tiadanya kita.

tidak boleh lari dari amanah

Menolak sesuatu jawatan yang diamanah juga merupakan suatu yang bertentangan dengan sifat jamaah. Seseorang pendokong jamaah hendaklah meletakkan kepentingan jamaah lebih dari kepentingan dirinya dan keluarganya, kerana itu ia tidak boleh lari dari menerima jawatan yang diamanah kepadanya.

Kita bukan berhadapan dengan budaya merebut jawatan, sebaliknya kita berhadapan dengan sikap ahli yang tidak mahu menerima jawatan. Sikap ini juga tidak membantu jamaah dalam membina kekuatan. Terkadang sikap ahli dan sebahagian pendokong jamaah yang enggan menerima jawatan diamanahkan kepadanya, menyebabkan timbul dua keadaan:

1) Jamaah kehilangan tenaga yang berwibawa, dan keadaan ini melambatkan kejayaan dalam perjuangan Islam.

2) Tindakannya mendedahkan jamaah kepada mehnah, fitnah sama ada akan ada yang menganggap jamaah membelakangkan orang yang dianggap layak; atau ia menjadi golongan yang suka komplen dan kritik kelemahan jamaah. Kerana mereka yang berada diluar padang sangat senang mengkritik pemain yang bermengah-mengah di tengah padang.

Melihat situasi muktamar kawasan, dewan-dewan, dan berakhir dengan muktamar Pusat nanti, maka sikap pendokong jamaah ialah tidak melampau dalam tindakan mengharapkan jawatan; tetapi di masa yang sama tidak melarikan diri dari jawatan seandainya jamaah mengharapkannya dan tiada yang lain darinya. Kerana zalim bukan sahaja meletakkan bebanan kepada yang tidak mampu; sebaliknya memberi kepada yang tidak layak juga adalah zalim

0 comments: