Anak Pejuang (,")
Posted by“Ummiiii…. baliklah rumah!!!”, Saiful Islam menjerit di tingkap.
Hening tengah hari itu terganggu dengan jeritan anak sulung saya dari tingkap rumah kami di tingkat 11.
“Yop… jangan menjerit macam tu. Nanti orang marah”, saya menegah Saiful Islam dari perbuatannya.
“Ummi pergi mana?”, tanyanya kepada saya.
Tersentak hati saya.
Kalau dihitung jumlah hari, saya lebih banyak out station dan ghaib dari rumah berbanding Ummu Saif. Perginya saya juga ada kalanya jauh lebih lama. Jika saya mengisi jemputan program di luar negara, mahu sahaja lima hari ke seminggu saya tiada di rumah.
Tetapi mungkin ketiadaan bapa itu tidak seberat ketiadaan ibu. Naluri anak-anak…
Sudah masuk tiga malam Ummu Saif bekerja shif malam. Itulah mungkin punca anak-anak terasa kehilangannya. Walhal bukan tidak bertemu di kala siang.
‘KAUNSELING’
“Yop mari sini sekejap”, saya memanggilnya.
“Apa dia?”, tanya Saiful Islam.
“Yop ingat tak dulu Yop jatuh kerusi? Kepala Yop luka. Imad pun pernah sakit. Orang sakit pergi mana?”, saya mengingatkannya.
“Pergi hospital”, jawab Saiful Islam kepada saya.
“Siapa tolong orang sakit di hospital?”, saya menyambung soalan.
“Doktorlah. Macam Ummi”, balas anak saya ini.
“Betul! Hari ini ada orang sakit, ada orang jatuh kerusi, ada orang kena langgar kereta. Semuanya pergi hospital. Ummi tengah tolong orang sakit”, saya menyudahkan jawapan.
“Ooo!”, Saiful Islam memuncung.
MEMBENCI KESIBUKAN IBU BAPA
Kesibukan ibu bapa bekerja itu ada baik dan ada buruknya. Tekanan ekonomi mendesak kita untuk bekerja keras, suami dan isteri. Malah adakalanya, bukanlah disebabkan oleh dorongan ekonomi, tetapi kerana tanggungjawab yang terpikul di bahu.
Namun tanpa sedar, si anak mungkin membenci pekerjaan ibu bapanya. Pekerjaan yang mencuri ibu bapa dari kehidupan mereka.
Bukan sahaja pekerjaan, malah perjuangan.
Saya tidak terkejut, anak-anak pendakwah membenci dakwah dan wadah dakwah ibu bapa mereka, kerana melihat perjuangan itu sebagai punca mereka terabai.
Keadaan ini menjadi lebih ketara apabila ibu bapa dan anak-anak tidak berkongsi nilai yang sama. Apa yang dianggap berharga, penting dan berguna dalam perjuangan ibu bapa, tidak pernah dikongsi bersama anak-anak. Mungkin pemergian ibu atau bapa ke medan bakti, sama ada dakwah, atau pekerjaan biasa, dirumuskan secara mudah oleh anak-anak sebagai sibuk, sibuk dan sibuk.
TELADAN KISAH IBRAHIM DAN ISMAIL
Tetapi Nabi Ismail ‘alayhi al-salaam sebagai anak kepada seorang insan bernama Ibrahim ‘alayhi al-salaam, adalah di antara anak yang paling kerap dan lama ditinggalkan. Ayahandanya Ibrahim, bukan ‘out station’ sehari dua, malah bertahun-tahun lamanya. Sesekali pulang, Ibrahim tentu sahaja terlepas banyak hari, minggu, bulan malah tahun bersama-sama anaknya Ismail yang ditinggalkan di bumi Mekah.
Tetapi Ismail tidak pernah bermusuh dengan bapanya Ibrahim.
Lebih-lebih lagi, kepulangan Ibrahim pada suatu hari, membawa mesej yang maha berat. Mahu menyembelih anak kesayangan sendiri!
Apa kata Ismail?
Beliau (Ismail) menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah, ayah akan mendapati daku dari kalangan orang-orang yang sabar”. [Al-Shaafaat 37 : 102]
Saya ketiadaan formula untuk mengetahui apakah rahsia pendekatan yang digunakan oleh Hajar selaku watak utama yang mendidik Ismail sepemergian Ibrahim. Tetapi apa yang pasti ialah, mereka bertiga berkongsi nilai yang sama. Mereka sama anggapan terhadap apa yang berharga, berguna, bernilai dan berhak mendapatkan pengorbanan dalam hidup ini.
Maka salah satu intipati penting dalam didikan Hajar ketika membesarkan Ismail adalah pada menyuburkan nilai ini.
“Ayah keluar berjuang”, agaknya itulah kata Hajar kepada anaknya Ismail tatkala anak itu bertanyakan ayahnya.
Maka Ismail sentiasa melihat dirinya sebagai anak pejuang, dan Ibrahim pula adalah hero bagi Ismail kerana ayahnya itu seorang pejuang.
MEMUPUK, BUKAN MENGHASUT
Di sinilah peranan ibu dan bapa untuk tidak menjadi kanak-kanak di depan anak.
“Ayah kamu memang macam tu. Asyik kerja sahaja!”, kata si emak kepada anak yang bertanya.
“Mama kamu lebih pentingkan orang lain dari kita!”, ‘hasut’ si ayah kepada anak yang rindukan ibunya.
Apabila ayah atau ibu menghasut anak untuk turut marah, geram dan dendam kepada ibu dan ayahnya, ia adalah situasi yang lose-lose. Tiada siapa yang menang. Anak kecewa dengan ayah yang bekerja, di samping emak yang membenci ayah sama. Anak berduka dengan ibu yang bekerja, di samping ayah yang membenci ibunya.
Beritahulah sisi positif pekerjaan suami kepada si anak. Agar si anak melihat bapanya dengan pandangan yang tinggi. Jelaskan kepada anak, bahawa ibunya yang bekerja itu bukan sekadar bekerja, tetapi ada jasa dan bakti yang sedang diberi.
BERBALIK KEPADA DIRI
Tetapi semua itu berbalik semula kepada hukum alam, bahawa faaqid al-syai’ laa yu’theeh atau ’seseorang yang tidak memiliki sesuatu, tidak akan dapat memberikannya kepada orang lain’. Jika kita sendiri menganggap kerja tidak lebih dari sekadar cari duit, mana mungkin kita dapat memahamkan anak tentang nilai kerjaya kita bahawa ia lebih dari sekadar cari duit.
Jika kita sendiri melihat pekerjaan itu suatu perjuangan, amal bakti sebagai khalifah, mungkin si anak boleh berkongsi inspirasi yang sama.
Jangan sampai anak menawarkan wang untuk membeli masa anda untuknya!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
0 comments:
Post a Comment