RSS Feed

Iman Semut vs Iman Manusia

Posted by Sumayyah Mohd Idris

IMAN SEMUT

Di zaman Nabi Allah Sulaiman berlaku satu peristiwa, apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu, lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus.

Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut, "Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu".

Semut pun menjawab, "Rezeki di tangan Allah, aku percaya rezeki ditangan Allah, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untukku".

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya: "Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut, "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan".

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan, "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong".

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, dia angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas, kemudian Nabi ambil gandum sebiji, dibubuh dalam bekas dan tutup bekas itu. Kemudian Nabi tinggalkan semut di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Bila cukup satu bulan Nabi Allah Sulaiman lihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menemplak semut, "Kamu rupanya berbohong pada aku! Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah".

Jawab semut, "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong, kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa".

Itulah Iman Semut!!!

IMAN MANUSIA !?

Di zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur orang mati bukan kerja orang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali
kubur untuk tanam mayat. Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik kerumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di¢INTERVIEW¢ oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya,

"Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?"

Jawab Iman Suffian, "Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan". Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih. Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia

Ramadhan Al-Mubarak

Posted by Sumayyah Mohd Idris

Lagi Kesilapan Umat Islam Dalam

Bulan Ramadhan & Luar Ramadhan

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Alhamdulillah, sudah hampir seminggu kita berpuasa dan menjalankan pelbagai ibadah di bulan penuh keberkatan dan keampunan ini. Moga kita sama-sama dapat mempergandakan usaha bagi membersihkan hati dan jiwa yang kerap tercemar dengan pelbagai dosa setiap hari.

Jika sebelum ini saya telah mendedahkan beberapa kesilapan kerap umat Islam pada bulan Ramadhan agar ianya dapat dijauhi sebaiknya, kali ini saya berhasrat untuk membuat beberapa penambahan lagi sebagai panduan bagi rakan-rakan umat Islam yang dikasihi sekalian.

Perbetulkan Amalan Kita Selaras Kehendak Allah dan rasulNya

Tanpa mengetahui yang salah, umat Islam mudah terjebak melakukan dosa-dosa ini, dan sebahagiannya bukan suatu dosa kecil yang boleh dipandang ringan. Awas dan segeralah melakukan koreksi jika kita pernah melakukannya di bulan Ramadhan.

Berikut adalah beberapa lagi kesalahan kerap yang berlaku terutamanya di bulan Ramadhan, ia juga adalah suatu kesilapan di luar Ramadhan juga:-

1) Berjalan di hadapan orang yang sedang solat ;

Sebagaimana yang kita lihat, di bulan Ramadhan ini ramai individu yang amat jarang menunaikan solat di masjid akan hadir berbondong-bondong ke masjid bagi memperolehi pahala sunat tarawih. Hasilnya, ramailah orang yang kurang ilmu, tidak faham adab dan tatacara di masjid juga telah hadir.

Menurut pengalaman di masjid-masjid dan surau, saya dapati terlalu ramai individu yang lalu lalang di hadapan orang yang sedang solat sunat. Disebabkan masjid yang penuh dan pelbagai ragam manusia, seringkali ada yang keluar masuk.

Sedarlah bahawa lalu di hadapan orang yang solat itu adalah suatu dosa yang amat besar, manakala membiarkan orang lalu tanpa bertindak juga adalah suatu kesalahan.

Nabi s.a.w menegah dengan katanya :-

‏لو يعلم المار بين يدي المصلي ماذا عليه لكان أن يقف أربعين خيرا له من أن يمر بين يديه قال ‏ ‏أبو النضر ‏ ‏لا أدري أقال أربعين يوما أو شهرا أو سنة

Ertinya : Sekiranya seseorang yang lalu di hadapan orang yang solat itu tahu sebesar manakah dosanya, nescaya ia berhenti menunggu selama lebih 40 (tahun, hari dana bulan) adalah lebih baik dari ia lalu di hadapan orang yang solat itu. (perawi berkata : aku tidak pasti nabi menyebut 40 hari, bulan atau tahun) ( Riwayat Al-Bukhari)

Ibn Hajar menukilkan kata-kata Imam An-Nawawi yang berkata :- "hadis ini menunjukkan haramnya lalu dihadapan orang yang sedang solat dan makna hadis ini membawakan larangan keras dengan balasan yang dahsyat, justeru ia tergolong dalam kategori dosa-dosa besar" ( Rujuk Fathul Bari, Ibn Hajar )

Ibu bapa kerap membawa anak mereka di masjid di waktu begini. Wajiblah ke atas mereka untuk menjaga anak mereka agar tidak bertindak berlari di hadapan orang yang sedang solat ini.

2) Membiarkan orang lalu dihadapannya (ketika solat) tanpa di tahan.

Jika lalu di hadapan orang yang sedang solat adalah kesilapan, maka ia juga satu kesalahan bagi bagi orang yang sedang solat itu sekiranya ia tidak bertindak menghalang.

Nabi s.a.w menyebut :-

‏إذا صلى أحدكم إلى شيء يستره من الناس فأراد أحد أن يجتاز بين يديه فليدفع في نحره فإن أبى فليقاتله فإنما هو الشيطان

Ertinya : Apabila seorang kamu menunaikan solat dengan telah ada petanda atau penghadang di hadapan kamu dari orang ramai (sebagai isyarat tempat ia solat- ia dinamakan 'sutrah'), tiba-tiba ada orang yang ingin melintas di hadapanmu, hendaklah kamu menahannya dari lalu, sekiranya dia enggan hendaklah kamu lawaninya dengan kuat kerana dia adalah Syaitan.' (Riwayat Al-Bukhari, Muslim, lafaz di atas riwayat Abu Daud )

Kita perlu menyedari bahawa solat adalah satu munajat berdua-dua dan berhadapan dengan Allah s.w.t, mana mungkin dibenarkan ada orang yang lalu melintas tatkala kita sedang berdua-duaan dengan Allah secara 'face to face'.

Apa pandangan anda jika kita sedang ingin menerima 'scroll' ijazah dari seorang canselor yang juga merupakan seorang sultan, tiba-tiba ada orang mencelah di antara kita dengan sultan tersebut?, Sudah tentu yang lalu tadi akan menerima darjah dan sijil 'pelempang' (penampar) dari sultan tersebut agaknya. Kerana ia adalah penghinaan kepada sultan dan penerima ijazah tadi sekaligus.

Nabi bersabda :-

المصلي يناجي ربه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang sedang bersolat adalah sedang bermunajat dengan tuhannya" ( Riwayat Al-Bukhari, no 413 ; Muslim , no 551 )

Hanya orang yang tidak khusyu' sahaja yang akan membiarkan orang lalu dihadapannya ketika solat. Kerana ia tidak dapat merasakan solatnya adalah suatu majlis yang hebat dan 'grand', tiada perasaan langsung bahawa ia sedang berhadap dengan Allah. Hasilnya, tiada sebarang larangan orang ingin lalu dihadapannya atau tidak. Tiada sebarang rasa terhina atau menghina Allah s.w.t.

Jagalah kehormatan masjid dan ramadhan

3) Meludah di masjid

Maklumlah, hadir ke masjid selepas berbuka dengan perut penuh, di musim selsema dan berkahak ini, ramai kelihatan meludah di sana sini di masjid. Makin ramai makin banyak ragamnya.

Ketahuilah Nabi s.a.w menegah kita meludah sesuka hati di masjid, sebagaimana kata baginda :-

‏قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏البزاق في المسجد خطيئة وكفارتها دفنها

Ertinya : Meludah di masjid adalah satu dosa (kesalahan), dan sebagai balasannya, hendaklah ia melupuskannya ludahnya tadi dengan menimbusnya" ( Riwayat Al-Bukhari, Abu Daud )

4) Membiarkan anak bermain mercun berdekatan masjid, deringan telefon bimbit berbunyi, menoleh kiri dan kanan sewaktu menunaikan solat.

Ini adalah satu lagi dosa yang berlaku secara kerap di masjid tatkala Ramadhan ini. Sekali lagi ia adalah disebabkan ramainya menunaikan solat terawih di masjid dan agak ramai juga yang membawa hand phone masing-masing yang tidak di 'silent' kan deringannya.

Menurut kefahaman saya, hukum mematikan ‘handphone' sewaktu solat jemaah dan solat secara individu adalah wajib (dimestikan).

Ini kerana :-

a- Tegahan dari terpesong minda & hati : Nabi tidak membenarkan umatnya terpesong minda, hati dan wajah semasa menunaikan solat. Tegahan Nabi ini boleh dilihat dari hadith berikut:-

إن الرجل لينصرف وما كتب له إلا عشر صلاته تسعها ثمنها سبعها سدسها خمسها ربعها ثلثها نصفها

Ertinya : " Seseorang yang beransur dari solatnya dituliskan baginya pahala dari persepuluh pahala solatnya, 1/9,1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau ½ " ( Riwayat Abu Daud dan An-Nasaie , Shohih menurut Ibn Hibban )

فإن هو قام وصلى فحمد الله تعالى وأثتى عليه ومجده بالذي هو أهل وفرغ قلبه لله تعالى إلا انصرف من خطيئته كيوم ولدته أمه

Ertinya : "Sesungguhnya seseorang yang berdiri dan solat serta memuja muji Allah SWT dengan pujian yang selayak bagiNya, serta mengosongkan hatinya bagi Allah SWT kecuali tatkala ia keluar dari dosa-dosanya seperti anak yang baru dilahirkan"( Riwayat Muslim)

Larangan menoleh ke kiri dan kanan sewaktu solat pula ditegah sebagaimana kata Nabi :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا , فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِي صَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ

Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud ; fath AL-Bari , 2/304 )

Justeru, difahami dari zahir dan objektif di sebalik tegahan-tegahan ini, kita akan mendapati mesej baginda nabi s.a.w amat jelas untuk seseorang menumpukan hati dan mindanya kepada Allah SWT semasa solat. Dengan kumpulan dalil-dalil ini saya kira telah cukup untuk menunjukkan kepentingan dan kewajiban menutup hand phone semasa solat.

b- Tegahan dari menganggu ahli jemaah yang lain

Sebagaimana kita fahami, bahawa bunyi handphone ini mampu mengganggu seluruh ahli jemaah yang sedang menunaikan solat. Terutamanya jika ia bermuzik dengan lagu dangdut, pop, rock yang pelbagai maka sudah tentu dosa pelakunya lebih besar.

Keadaan ini dapat difahami dari tegahan Nabi SAW terhadap umat Islam yang datang ke masjid dengan setelah memakan makanan berbau dan busuk. Nabi SAW besabda :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته

Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

Kesimpulannya, wajib menutup hand phone semasa solat sendirian dan berjemaah. Sekiranya terlupa dan handphone berbunyi, maka wajiblah bergerak sedikit untuk menutupnya.

Pergerakan

Pergerakan ini tidak membatalkan solat kerana ia adalah pergerakan wajib, sebagaimana Nabi SAW mengizinkan untuk membunuh binatang bisa kecil semasa solat. Diriwayatkan

أن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏أمر بقتل الأسودين في الصلاة العقرب والحية

Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW mengarahkan agar membunuh dua binatang bias walaupun ketika solat iaitu kala dan ular (jika ia menghampiri ketika solat) ( Riwayat Ibn Majah, no 1235 )

Hasilnya, jelas kita dapat memahami bahawa wajib juga bagi seseorang untuk bertindak ‘membunuh' bunyi handphone nya yang mengganggu jika berbunyi kerana ia amat berbahaya dan merosakkan ketenangan orang sedang solat, sebagaimana bahayanya kala dan ular.

5) Lelaki hadir ke masjid dengan berbau busuk, perempuan pula berwangian.

Telah banyak kali saya sebut di dalam web ini bahawa wanita ditegah memakai wangian sewaktu bercampur dengan lelaki bukan mahram di tempat umum termasuk masjid. Manakala lelaki pula disunatkan berwangian ke masjid.

Sebagaimana ingatan Nabi :-

‏من أكل ثوما أو بصلا فليعتزلنا أو قال فليعتزل مسجدنا وليقعد في بيته

Ertinya : Barangsiapa yang makan bawang putih atau merah (yang tidak dimasak dan kuat baunya) maka jauhilah kami atau disebut : jauhilah masjid-masjid kami dan duduklah ia di rumahnya sahaja( Riwyaat al-Bukhari , no 808 )

6) Tidur semula selepas sahur

Telah disebutkan bahawa waktu sahur adalah waktu yang dipenuhi keberkatan dan kemaqbulan doa. Justeru, tabiat tidur semula setelah makan sahur sementara menunggu waktu subuh adalah satu kesilapan. Inilah tabiat yang menyebabkan masjid dan surau tidak penuh di waktu subuh.

Tidur selepas makan sahur menyebabkan tubuh menjadi semakin layu dan mengantuk yang amat sangat. Keadaan ini pastinya menjadi punca solat subuh di rumah berseorangan atau lebih teruk, terlewat subuh.

Amat rugilah mereka yang tidak menjaga waktu sebegini serta tidak mengisinya dengan doa dan istighfar.

Allah berfirman :-

الصَّابِرِينَ وَالصَّادِقِينَ وَالْقَانِتِينَ وَالْمُنفِقِينَ وَالْمُسْتَغْفِرِينَ بِالأَسْحَارِ

Ertinya : "Orang-orang yang sabar, yang benar, yang tetap taat, yang menafkahkan hartanya (di jalan Allah), dan yang memohon ampun di waktu sahur" ( Al-Imran : 17 )

7) Menunaikan semua solat sunat di masjid dan tiada di rumah.

Tidak dinafikan, di bulan mulia ini ramai yang berusngguh ingin mendapatkan pahala sunat, solat sunat kerap dilakukan sejurus solat fardhu di masjid dan surau.

Cuma orang ramai perlu tahu bahawa, solat sunat lebih afdhal dilakukan di rumah berbanding di masjid dan surau, ia lebih mampu menjaga diri dari perasaan riya, ujub dan takbur. Kecualilah solat sunat terawih dan bagi individu yang jauh rumahnya dari masjid, hingga terpaksa menunaikan solat-solat sunat selepas dan sebelum solat fardhu di masjid.

Bagaimanapun, adalah satu kesilapan sekiranya tidak dilaksanakan sebarang solat sunat ketika di rumah, seperti solat tahajjud, witir dan lain-lain.

Nabi s.a.w bersabda :-

اجعلوا من صلاتكم في بيوتكم ولا تتخذوها قبورا

Ertinya : jadikanlah sebahagian dari solat kamu di rumahmu dan jangan biarkan rumahmu menjadi seperti kubur ( akibat tiada solat sunat)" (Riwayat Muslim)

Majority ulama berpendapat solat sunat lebih baik dilaksanakan di rumah disebabkan ia lebih tersorok daripada pandangan ramai ( Syarah Sohih Muslim, Imam An-nawawi )

8) Wanita berhias dan membuka aurat di luar rumah

Saya kira, isu ini telah banyak saya sentuh di web ini, malangnya ia seakan-akan satu fenomena yang amat sukar untuk diubah walaupuan di ketika datangnya bulan dibukakan pintu syurga dan ditutup pintu neraka ini.

Sedarilah, kegagalan kita untuk berubah kepada yang lebih baik di bulan ini bakal menyaksikan kejahatan diri akan semakin mudah meningkat di bulan-bulan lain.

(GAMBAR DUA WANITA YANG DISIARKAN SEBELUM INI SEBENARNYA DISIARKAN OLEH SUAMI MEREKA DAN DISIAR SECARA PUBLIC DI WEB FOTOGRAFI, IA MEMANG DITONTON OLEH RAMAI)

9) Merendah dan 'kondem' wanita yang cuba berubah dengan bertudung, tutup aurat dan tidak berhias di bulan ramadhan.

Saya juga mendapat info bahawa sebahagian golongan yang merendahkan percubaan perubahan diri dan perkara baik yang dilakukan oleh rakan setugas dan kenalannya di bulan Ramadhan ini. Ada yang mengeji, menuduh hipokrit, mengutuk kononnya 'bungkus sebentar' dan macam-macam lagi kutukan.

Buat pihak yang mengutuk, sedarilah, anda sebenarnya sedang menjauhkan orang dari Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis :-

‏لا تحقرن من المعروف شيئا ولو أن ‏ ‏تلقى أخاك ووجهك منبسط

Ertinya : "Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilakukan) , walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranay dengan wajah yang senyum dan riang.." ( Riwayat Ahmad , dari hadis Jabir , no 19717 )

Justeru, apa jua kebaikan yang mampu diusahakan oleh seseorang terutamanya di bulan baik ini, kita ditegah untuk memperlecehkannya.

10) Banyak berdoa tetapi tidak memahami apakah maksud doanya

Ini satu lagi penyakit yang menular meluas dalam masyarakat kita, memang amat baik untuk menghafal doa yang sohih dari Al-Quran dan dari baginda Nabi s.a.w, tetapi ia akan tergugat apabila anda tidak memahami apakah doa yang diulang-ulangnya itu.

Saya kerap kali terjumpa tuan imam yang membaca dari buku sahaja doa yang panjang lebar, dengan tergagap-gagap. Selepas tamat saya cuba bertanya adakah beliau faham kandungan doa itu, ia berkata hanya faham 10 % sahaja. Mujurlah ada yang faham, bagaimana jika 0 % faham.

Jika tuan imam hanya 10 % faham, bagaiamana pula dengan makmum dari orang biasa ini?. Bolehkah doa tanpa faham ini menjadi maqbul dengan serta merta ?, bolehkah sesuatu doa yang tidak difahami maskudnya boleh lahir dari hati, jiwa dan penuh perasaan dari orang yang berdoa?. Perbincangannya mungkin seidkit panjang, Cuma cukuplah saya ingin mengingatkan ia adalah salah satu bentuk kesilapan di bulan Ramadhan yang dipenuhi doa ini.

Segeralah mencari terjemahan doa yang anda baca agar kesungguhan meminta apa yang diucapkan sampai kepada Allah s.w.t.

Nabi s.a.w mengingatkan :-

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لا يَسْتَجِيبُ

دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاهٍ

Ertinya : "Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin ianya diterima Allah, dan ketahuilah Allah tidak menerima doa dari orang yang hatinya lalai dan tidak bersungguh" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3479 : AlMunziri dan Albani : Sanad & Hadis Hasan )

Ni gambar sungai bukan syurga ok..

Akhirnya, semoga kesilapan ini dapat dielakkan di ketika kita menghidupkan Ramadhan dan berterusan dapat dielakkan selepas Ramadhan. Saya izinkan disebarluaskan artikel ini di masjid, surau, fotostatlah sebanyak mungkin demi manfaat rakan muslim kita. Semoga kita dapat sama-sama ke syurga Allah s.w.t ..ameeen.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

6 Ramadhan 1428 H

18 September 2007

Iktikaf

Posted by Sumayyah Mohd Idris

Sedar atau tidak dalam konteks komuniti Islam di Malaysia sejak awal, ibadah penting yang satu ini iaitu iktikaf di masjid pada bulan Ramadan tidak begitu popular. Padahal al-Quran menyebutnya beberapa kali, walaupun tidak dalam bentuk kutiba (diwajibkan seperti dalam perintah puasa, qishash dan wasiat) atau fi'il amr (kata kerja perintah seperti solat, haji, berperang, dan sebagainya). Dalam kitab-kitab hadis juga banyak membicarakan satu bab khusus tentang iktikaf ini.

Wahbah az-Zuhaili, guru besar fikih Universiti Damsyik merumuskan bahawa yang menjadi tujuan iktikaf itu adalah membersihkan hati dengan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. serta menghentikan aktiviti keduniaan pada waktu-waktu tertentu semata-mata untuk beribadah kepada-Nya. Oleh kerana itu, dianjurkan iktikaf dilakukan dalam keadaan berpuasa, bagi mendekatkan lagi diri kepada Allah.

Ketika Nabi Ibrahim berjaya menunaikan beberapa perintah Tuhan, termasuk di antaranya membangun Baitullah - (Kaabah) bersama anaknya Ismail - Tuhan lalu memerintahkan kepada keduanya agar tetap menyucikan rumah Allah tersebut bagi melaksanakan tiga kegiatan ibadah.

Dan (ingatlah) ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam (tempat berdiri) Ibrahim sebagai tempat solat. Dan kami telah membuat janji dengan Ibrahim dan Ismail agar menyucikan rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang iktikaf, yang rukuk, dan yang sujud. (al-Baqarah [2]: 125).

*Fungsi

Ayat ini jelas menyebut bahawa salah satu fungsi tempat ibadah ialah iktikaf. Tapi kini di manakah fungsi itu? Hampir kita tidak menemuinya lagi. Bahkan ada sebahagian pengurus masjid melarang orang untuk iktikaf. Iktikaf mereka bolehkan tetapi dalam pengertiannya yang sangat sempit, iaitu sekadar berdiam sejenak. Padahal Nabi jelas mencontohkan iktikaf selama sepuluh hari terakhir di bulan Ramadan. Surah al-Baqarah yang menerangkan secara terperinci pelaksanaan puasa berserta hal-hal yang berkait dengannya juga jelas bersambung dengan masalah iktikaf ini. Perhatikanlah ayat berikut ini:

Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu. Mereka adalah pakaian bagi kamu dan kamu (juga) pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan diri, kerana itu Dia menerima taubat dan memaafkan kamu. Maka sekarang campurilah mereka dan carilah apa yang Allah telah tetapkan bagi kamu; makan minumlah hingga terang bagi kamu (perbezaan antara) benang putih dan benang hitam, di waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai malam. Tetapi janganlah kamu mencampuri mereka (isteri kamu) sementara kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah larangan Alah, maka janganlah kamu mendekatinya. Demikanlah Allah menerangkan ayat-ayatnya kepada manusia, mudah-mudahan mereka bertaqwa. (al-Baqarah ayat 187).

Membicarakan persoalan ini banyak hadis Nabi dapat kita temui dalam kitab Bukhari-Muslim yang diriwayatkan dari Ibnu Umar, Anas, dan Aisyah seperti berikut ini:

Bahawa sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sejak tiba di Madinah sampai beliau wafat. (H.R. Bukhari-Muslim).

Riwayat lain menyebutkan: Sesungguhnya Nabi s.a.w. melakukan iktikaf di sepuluh hari kedua dari bulan Ramadan dan sepuluh hari terakhir bulan tersebut. Beliau terus melakukan amalan ini sampai akhir hayatnya. Kemudian amalan tersebut dilanjutkan oleh isteri-isterinya.

(Kalau hadis ini benar, bererti ada dua kemungkinan waktu iktikaf Nabi. Pertama, beliau beriktikaf selama

20 hari terakhir dari bulan Ramadan. Kedua, Nabi kadang-kadang melakukannya pada 10 hari kedua dan kadang-kadang 10 hari terakhir.)

Nabi menganjurkan sambil mengamalkan iktikaf di masjid dalam rangka perenungan dan penyucian jiwa. Masjid adalah tempat suci. Segala aktiviti kebajikan bermula di masjid. Di masjid pula seseorang diharapkan merenung tentang diri dan masyarakatnya, serta dapat menghindar dari hiruk-pikuk yang menyesakkan jiwa dan fikiran bagi memperoleh tambahan pengetahuan dan pengkayaan iman. Itu sebabnya ketika melaksanakan iktikaf, dianjurkan untuk memperbanyak doa dan bacaan al-Quran, atau bacaan-bacaan lain yang dapat memperkaya iman dan takwa.

Memang iktikaf boleh dilakukan di mana saja. (Sebelum diangkat jadi rasul, Nabi Muhammad melakukannya di Gua Hira). Tetapi berdasarkan sunah yang ditunjukkan Nabi sepanjang hidupnya di Madinah, beliau terus melakukannya di masjid.

Penekanan masjid sebagai tempat iktikaf menjadi sangat penting mengingatkan tempat tinggal Nabi sesungguhnya bersambung dengan masjid. Ertinya, seandainya masjid tidak begitu penting dalam hal tempat, maka Nabi boleh saja memperbanyak (melakukan dengan tekun) ibadah di masjid tapi kemudian istirahat dan tidur di rumahnya. Tapi nyatanya Nabi tidak melakukan itu. Itu tanda bahawa masjid adalah satu-satunya tempat yang boleh digunakan untuk iktikaf. Tentu saja selama masjid tersebut memiliki kemudahan yang memungkinkan orang untuk tinggal beberapa hari di sana; misalnya tandas, bilik mandi, bilik persalinan menukar pakaian dan sebagainya.

Ingatlah iktikaf bukannya wahana untuk berdiskusi, apa lagi untuk berbual kosong. Juga bukan tempat istirahat atau tidur. Tidur dilakukan untuk sekadar menjaga keadaan tubuh agar tetap sihat. Iktikaf adalah wahana untuk bersungguh-sungguh dalam mengintrospeksi diri atau berfastaniqul khairat (berlumba-lumba) dalam memperbanyak ibadah.

Pernahkah kita terfikir mengambil cuti bekerja untuk beriktikaf? Pertanyaan ini sangat ganjil. Tetapi ganjil bukan bererti salah. Banyak perkara yang selalunya dianggap ganjil tetapi kini diterima sebagai suatu kebenaran. Sebelum ini kita hanya mengambil cuti berehat ketika untuk bersama keluarga. Demikian juga ketika untuk balik kampung menjelang hari raya. Itu sama sekali tidak salah. Apa yang penting semua itu boleh memberi kebahagiaan diri dan keluarga. Tetapi kalau difikir-fikir secara mendalam apakah semua ini tidak boleh dilakukan sebelum hari raya sehingga harus mengorbankan momentum ibadah yang sangat penting dan hanya datang sekali dalam setahun itu?

Mengunjungi orang tua dan sanak saudara boleh dilakukan pada bila-bila masa. Tetapi iktikaf 10 hari terakhir Ramadan tidak dapat dipindah pada waktu yang lain. Dalam hal ibadah ini kita harus mencontohi Nabi. Pernahkah kita mendengar Nabi dan sahabat-sahabatnya membuat persiapan untuk pulang ke kampungnya di Mekah menjelang Aidilfitri? Nabi juga manusia biasa, pasti ada kerinduan kepada kampung halaman dalam dirinya. Tetapi kenapa beliau memilih untuk tinggal di masjid? Ini adalah kerana alasan spirituil dan iktikaf adalah sebahagian dari syariat. Seandainya kita dan keluarga pernah merasakan betapa indah ibadah ini (iktikaf) nescaya kita akan berlumba-lumba memohon cuti untuk melaksanakan ibadah iktikaf itu.

Malam Qadar yang ditemui atau yang menemui Nabi pertama kali beliau menyendiri di Gua Hira, merenung tentang diri beliau dan masyarakat, saat jiwa beliau mencapai kesucian, turunlah Ar-Ruh (Jibril) membawa ajaran dan membimbing beliau sehingga terjadilah perubahan keseluruhan dalam perjalanan hidup beliau bahkan perjalanan hidup umat manusia. Kerana itu pula beliau mengajarkan kepada umatnya, dalam rangka menyambut kehadiran lailatulqadar itu, antara lain adalah melakukan iktikaf. Mengapa nabi memilih iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadan, bukan pada 10 hari terawal? Alasannya mungkin berkaitan dengan kedudukan puasa nabi yang kian hari kian meningkat dan alasan kedua kerana ia berkaitan dengan lailatulqadar. Sebenarnya untuk mendapatkan lailatulqadar tidak cukup dengan kesungguhan beribadah pada malam itu saja. Ibadah harus dirintis dari awal sehingga kita bersedia dari segi persiapan rohani untuk menerima kedatanganya.

*Pandangan

Walaupun iktikaf dapat dilakukan bila-bila masa dan dalam waktu beberapa lama saja bahkan dalam pandangan Imam Syafii, walau sesaat selama disertai oleh niat yang suci-namun Nabi selalu melakukannya pada pada 10 hari dan malam terakhir bulan Ramadan. Di sinilah beliau bertadarus dan merenung sambil berdoa.

Salah satu doa yang paling sering beliau baca dan hayati maknanya adalah: Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan kebajikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa neraka. (al-Baqarah [2]: 201).

Doa ini bukan sekadar bererti permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan kebajikan akhirat, tetapi ia lebih-lebih lagi bertujuan memantapkan langkah dalam usaha meraih kebajikan, kerana doa mengandungi erti permohonan yang disertai usaha. Permohonan itu juga bererti usaha untuk menjadikan kebajikan dan kebahagiaan yang diperoleh dalam kehidupan dunia ini, tidak hanya terbatas di dunia, tetapi terlanjur hingga hari kemudian kelak.

Ibadah yang harus diberi tumpuan semasa iktikaf

a. solat-solat sunat

b. Membaca al-Quran

c. Zikir

d. Doa

Amalan tambahan yang dapat menyempurnakan iktikaf sesuai dengan falsafahnya. Kita sebut ini sebagai amalan sokongan.

Ada tujuh hal yang penting di sini iaitu:

Mengurangi lima perkara:

a. kurangkan makan minum

b. Kurangkan tidur istirahat

c. Kurangkan keluar masjid

d. Kurangkan bicara


e. Kurangkan berkeliaran

Menghindari lima perkara:

a. Hindari meninggalkan iktikaf

b. Hindari berhubungan dengan pihak luar

c. Hindari batal wuduk

d. Hindari melihat lawan jenis (bukan muhrim)

e. Hindari bicara sia-sia

Mematuhi lima perkara:

a. Tidur/istirahat tepat waktu

b. Tidur memakai alas

c. Sahur tepat waktu

d. Patuhi peraturan masjid

e. Patuhi tata tertib

Ada tujuh perkara yang dilarang:

a. Dilarang mengganggu peserta lain

b. Dilarang membangunkan tanpa diminta

c. Dilarang menggunakan tempat yang terlarang

d. Dilarang memakai barang orang lain (termasuk alas kaki) tanpa izin

e. Dilarang menempatkan barang di sebarang tempat

f. Dilarang menbazir atau boros ( makan-minum, dan sebagainya)

g. Dilarang membuang sampah sebarangan

Ada lapan perkara yang tidak boleh ada di hati:

a. Amarah

b. Bakhil

c. Rakus

d. Senang dilayani

e. Iri hati

f. Dendam

g. Buruk sangka

h. Sentiasa diawasi

Ada lapan perkara yang harus ada di hati:

a. Sakinah (sikap tenang)

b. Senang memberi

c. Senang berkhidmat

d. Sederhana

e. Simpati

f. Pemaaf

g. Baik sangka

h. Memahami

- PENULIS ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Posted by Sumayyah Mohd Idris

assalamualaikum wbth...

Alhamdulillah, pagi2 lagi tiba di office, saya dah dapat task..task yang insyaAllah dapat memberi manfaat kepada kita semua..

Output: to be shared with all~..

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kadangkala kita terdengar cakap-cakap sebegini:
"Tak naklah ikut tadarus, lambat, baik baca sendiri, cepat sikit habis"

Atau kita sendiri atau sahabat-sahabat kita tergesa-gesa membaca Al-Quran sama ada secara berseorangan mahupun berkumpulan, dengan tidak menjaga hak-hak Al-Quran dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya semata-mata untuk mengkhatamkan Al-Quran di bulan Ramadhan. Apakah khatam itu tujuan sebenarnya kita bertadarus?

Moga-moga tulisan saya ini boleh menjawab sedikit sebanyak berkenaan masalah tersebut.

Pendahuluan

Antara ibadah yang menjadi kelaziman di bulan Ramadhan ialah tadarus Al-Quran. Ini bertepatan dengan bulan Ramadhan yang dianggap sebagai 'Bulan Al-Quran', yang
diturunkan padanya Al-Quran. Insya Allah saya cuba mengupas secara ringkas
berkenaan ibadah ini.

Makna Tadarus

Asasnya, tadarus bermaksud memperdengarkan bacaan Al-Qur’an di hadapan seseorang
yang dapat mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan. Amalan tadarus merupakan salah satu ibadat penting yang diberi tumpuan oleh Rasulullah s.a.w. dalam bulan Ramadhan.

Diriwayatkan, Rasulullah bertadarus Al-Quran dengan Jibril sendiri.

عن ابن عباس رضي الله عنهما قال: (كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ـ أي أكرم الناس ـ
وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل، وكان جبريل يلقاه في كل ليلة من رمضان فيدارسه
القرآن، فرسول الله صلى الله عليه وسلم حين يلقاه جبريل أجود بالخير من الريح المرسلة) متفق عليه

“Nabi Muhammad s.a.w. merupakan orang yang sangat pemurah dengan kebajikan,
dan kemuncak kemurahannya ialah sepanjang bulan Ramadhan.Jibril a.s.
menemuinya pada setiap malam bulan Ramadhan sehingga habis bulan itu dan
Rasulullah membacakan Al-Qur’an kepadanya. Sesungguhnya Rasulullah adalah
amat pemurah umpama angin yang bertiup kencang”.
(Riwayat:Al-Bukhari dan Muslim).

Kelebihan Tadarus

Tadarus Al-Qur’an mempunyai banyak kelebihan. Selain kelebihan-kelebihan yang
dijanjikan bagi sesiapa yang membaca Al-Quran, Rasulullah s.a.w. juga telah bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ
مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ
وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ.

“Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca
dan bertadarus Al-Qur’an, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan
(sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada
para malaikat”.

Tadarus Di Kalangan Orang-Orang Soleh

Amalan tadarus Al-Qur’an Rasulullah itu, telah menjadi ikutan dan dihayati oleh para
sahabat dan orang-orang soleh dari dahulu hingga kini. Mereka bertadarus Al-Qur’an
sehingga tamat beberapa kali sepanjang bulan Ramadhan. Ada yang mengkhataminya
seminggu sekali, tiga hari sekali, sekali setiap malam atau lain lain tempoh mengikut kesungguhan serta keupayaan masing-masing.

Imam Asy-Syaaf’i umpamanya dilaporkan dua kali tamat dalam sehari di bulan Ramadhan. Seorang ulama' lain bernama Mujahid, khatam Quran antara Maghrib dan Isyak
pada setiap malam di bulan Ramadhan. Qatadah pula mengkhataminya setiap tiga malam sebelum sepuluh terakhir Ramadhan. Manakala dalam tempoh sepuluh terakhir beliau mengkhataminya setiap malam.

Selain itu, ulama terdahulu telah menangguhkan majlis majlis ilmu mereka di bulan
Ramadhan bagi memberi lebih tumpuan terhadap Al-Qur’an. Imam Az-Zuhri misalnya
apabila tiba bulan yang berkat ini, beliau menangguhkan sebarang majlis ilmu, bagi
menghayati tilawah dan mendalami Al-Qur’an. Beliau membacanya pada mashaf.

Demikian juga Imam Malik r.a. beliau meninggalkan buat sementara waktu sebarang
aktiviti pengajian hadis dan fekah bagi mentadabbur Al-Qur’an. Sehubungan ini beliau
pernah menyatakan: “ هذا شهر القرأن ”. Ertinya, ini ialah bulan Al-Qur’an.

Perhatian: Mengikut Imam Nawawi, sebahagian Ulama' menghukum makruh
mengkhatamkan Al-Quran dalam sehari semalam. Mereka berdalilkan hadis sahih dari Abdullah bin Amru bi Al-A'ss katanya:

قال رسول الله : لا يفقه من قرأ القرأن في أقل من ثلاث
Maksudnya: Tidak dianggap faqih seseorang yang mengkhatamkan
Quran kurang dari 3 hari.

Cara Tadarus

Tiada cara yang seragam atau tertentu dalam aktiviti tadarus Al-Qur’an. Bagaimanapun
antara langkah-langkah yang boleh diikuti ialah:

1. Membaca Al-Qur’an secara bergilir-gilir dalam suatu kumpulan kecil.

2. Membaca mengikut tertib surah dan ayat, sebagaimana dalam mashaf

3. Menyemak bacaan agar selamat daripada kesalahan tajwid dan sebagainya.

4. Baca dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah bukan untuk segera khatam.

5. Aktiviti ini boleh dihidupkan di tempat-tempat yang sesuai terutama di masjid, surau
atau di rumah sebaik-baiknya bersama keluarga.

Kelebihan Membaca Al-Quran Pada Malam Hari

Digalakkan memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada waktu malam dan ketika solat
malam.

Firman Allah Taala:

ومن أهل الكتاب أمة قآئمة يتلون ايات الله ءانآء الليل وهم يسجدون

Berkata Imam Nawawi (kesimpulannya): Digalakkan solat dan membaca Al-Quran pada
malam hari kerana ialah lebih menumpukan hati, jauh dari kesibukan dan perkara-perkara yang melalaikan, lebih terjaga dari riya' dan lain-lain yang menggugurkan amalan.

Apa Sebenarnya Tujuan Tadarus?

Kembali kita kepada persoalan asal. Pandangan saya, khatam bukanlah tujuan asal tadarus
yang dilakukan oleh Nabi. Berikut sebab-sebab saya berpendapat demikian.

1- Perkataan tadarus yang berasal dari 'darasa' yang bermakna mempelajari.Jika khatam dijadikan tujuan utama, maksud mempelajari ini biasanya tidak tercapai.

2- Tujuan Rasulullah bertadarus dengan Jibril ialah untuk memperdengarkan dan
menyemak bacaan. Jika khatam itu tujuan yang utama, tentulah tidak berlaku tadarus melainkan selepas Quran itu sempurna diturunkan.

3- Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Saidatina Fatimah radhiallahu‘anha berkata:

“Sesungguhnya Jibril datang kepada Rasulullah untuk memperdengarkan
bacaannya kepada Rasulullah setiap tahun sekali. Dan Jibril telah melaksanakan
yang demikian pada tahun Nabi wafat, dua kali”.

Jika khatam merupakan tujuan utama, nescaya Nabi mengkhatamkan Al-Quran dalam tadarusnya bersama Jibril paling kurang 2 kali dalam setahun sebagaimana yang
dilakukan pada akhir hayatnya.

Kesimpulannya: Tujuan asal tadarus ialah untuk memperelokkan dan menyemak kembali bacaan. Dan sebaiknya bacaan itu difahami. Kerana itu,lebih elok jika tadarus itu diadakan secara berkumpulan untuk sama-sama mendapat manfaat. Dan elok juga dilakukan perbincangan ringkas selepas tadarus berkenaan ayat-ayat yang di baca.

Walaubagaimanapun,jika mampu, sewajarnya seorang Muslim berusaha mengkhatamkan Al-Quran paling kurang sekali dalam bulan Ramadhan dengan menjaga adab-adab dan
hak-hak Al-Quran itu sendiri.

Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud :"Ramai orang membaca Al-Quran,
sedangkan Al-Quran itu melaknatnya"

Moga-moga kita tidak tergolong dalam golongan itu.

Wallahua'lam.

Rujukan:

1. التبيان في اداب حملة القران
Oleh Imam Nawawi
2. Risalah Berkenaan Tadarus
Yayasan Terengganu